Tuesday, May 24, 2011

10 Wasiat Hassan Al-Banna (2)

Oleh: Nabil Jalhoum

Wasiat Keenam: Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara. 

Perkara penting yang perlu kami jelaskan di sini ialah bukan bermaksud berusaha bersungguh-sungguh sehingga menjadi seorang yang berkerut muka sehingga terlihat pada wajah anda serius berlebihan; yang menyebabkan orang-orang di sekitar anda melarikan diri, dan meninggalkan anda kerana kebengisan dan kekasaran anda. Ini bukanlah dari agama sama sekali. Bergurau itu sendiri diharuskan kecuali jika dicampur dengan menakut-nakutkan, ugutan atau penipuan, dan yang terkeluar dari akhlak dan moral.

Beberapa orang ulamak mungkin mengatakan bahawa mereka telah meriwayatkan dari Nabi saw, bahawa baginda sering bergurau-senda atau berjenaka. Ini benar tidak ada yang dapat menafikan, namun perlu diketahui bahawa Nabi saw bukan bergurau, membuang masa dan mengganggu majlis seperti yang kita lihat di kalangan kita. Tetapi bergurau senda itu semestinya tidak terkeluar dari ruang lingkup akhlak mulia yang diajar dan ditunjukkan oleh Nabi saw.

Mungkin maksud dari wasiat ini adalah untuk menjadikan senda-gurau sebagai pintu ibadah kepada Allah dalam erti:

- Hendaklah menjadikan gurauan itu sendiri bertujuan menyayangi orang lain dan memenangi hatinya.

- Ada satu peristiwa yang berlaku kepada Nabi saw yang menunjukkan keadaan ini. Sohaib Ar-Rumi datang menemui Nabi saw. Ketika itu ​​di tangan baginda yang mulia terdapat sebiji kurma dan sepotong roti, Lalu baginda berkata kepadanya: “Ambillah dan makan”. Lalu Sohaib mengambilnya dan memakan kurma itu. Kemudian Nabi saw berkata lagi: "Pada matamu terdapat tanda sakit." Sohaib berkata: “Wahai Rasulullah, kalau begitu biar saya makan yang sebelahnya”. Maka Rasulullah tersenyum bersama-sama Sohaib.

- Hendaklah menjadikan gurauan itu tanda persamaan:

Di dalam satu riwayat Imam Ahmad dari Anas bin Malik r.a, bahawa Nabi saw telah menemui Ummu Sulaim dan di sampingnya terdapat puteranya hasil perkahwinan dengan Abi Talhah: yang digelar Abu Amir. Lalu baginda bergurau dengannya setelah melihat Abu Amir bersedih. Baginda berkata: "Kenapakah Abu Amir bersedih?" Mereka berkata: “Anak burung yang menjadi permainannya telah mati”. Menurut Anas: Baginda berkata: "Abu Amir, apa yang terjadi pada anak burung?" (HR. Ahmad, No. 12489).

- Hendaklah gurauan itu mudah menjinakkan dan melembutkan jiwa orang lain dan bukan memberatkan.

- Bukan semestinya menjadi ciri dan sifat seorang Muslim, tetapi diperlukan dalam situasi tertentu.

- Hendaklah gurauan itu jauh dari berbohong.

- Hendaklah gurauan itu mengikut keperluan dan situasi.

- Tidak boleh berterusan bersenda-gurau supaya tidak menjatuhkan kewibawaan dirinya dan melemahkan cita-citanya yang tinggi.

- Gurauan seharusnya tidak menyebabkan timbul perasaan dendam, permusuhan dan pergaduhan, dan sangat mendukacitakan kita keadaan ini banyak yang berlaku.

- Gurauan seharusnya tidak merosakkan persaudaraan dan hubungan baik, kerana prinsip asas dalam Islam ialah cinta sesama manusia dan menjadi prinsip golongan yang memiliki aspirasi yang tinggi.

Wasiat ketujuh: Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram. 

Adakah salah salah seorang dari kita menolak untuk dihubungkan kepada Allah dengan menggantung cinta padaNya dengan cinta yang mendalam dan mencari keredhaanNya?

Adakah salah seorang dari kita tidak berusaha untuk bersifat terhormat dan tenang yang merupakan slogan orang-orang salih, keadaan ahli ibadah dan ruh orang-orang yang beramal?

Tidak diragukan lagi bahawa kita semua mencarinya, mengingininya dan mengharapkannya, tetapi itu tidak bermakna melebihi kemampuan diri kita sendiri dan kita memikul beban lebih dari yang sepatutnya ditanggung. Senyum itu penting, dan tertawa itu sinar, namun apa yang dimaksud oleh As-Syahid Hassan Al-Banna rahimahullah adalah tidak banyak tertawa. Beliau tidak mengatakan: Jangan ketawa , namun beliau mengatakan: Jangan terlalu banyak ketawa. Oleh sebab itu perbezaan keduanya sangat besar.

Apa yang dimaksudkan dengan tidak banyak tawa:

- Iaitu bukan tertawa dengan suara yang kuat dan berdekah-dekah.

- Kita perlu mengetahui sabda Nabi saw (bermaksud): "Waspadalah tentang tertawa yang terlalu banyak, kerana hal itu akan mematikan hati, dan menghilangkan nur pada wajah" (HR. Ahmad dan disahihkan oleh Al-Bani).

- Orang yang banyak tertawa akan mengalihkan tumpuan dirinya daripada urusan yang penting dan perlu.

-Hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan tertawa sebanyak mungkin.. tetapi bertakwalah kepada Allah sebanyak yang anda boleh.

- Tidak bercampur dalam majlis orang-orang bodoh.

Imam Ali Karramallahu wajhah pernah berkata: “Jika orang ‘alim tertawa, maka akan terluah ilmu menjadi ludah”.

Wasiat Kelapan: Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.

Wasiat ini menunjukkan keindahan apa yang diajar al-Quran kepada kita, dan apa yang diseru oleh penghulu sekalian makhluk, Nabi Muhammad saw, seperti yang telah dinyatakan oleh Allah tentang diri baginda (bermaksud):

Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”. (Al-Qalam: 4).

Keindahan akhlak dan adab yang baik dalam berurusan dengan orang lain, adalah syarat kepada ketinggian roh dan kemampuan memikat hati orang-orang yang berada di sekitar anda ..

Wasiat ini telah disusun oleh Imam Al-Banna hasil dari keimanan dan kepercayaan terhadap apa yang dinyatakan dalam Al-Quran dalam Surah Luqman, di mana Luqman telah menasihati anaknya dengan cara yang penuh etika, dan bagaiman dia akan berurusan dengan orang-orang di sekelilingnya dalam berekonomi, bersederhana semasa berjalan, merendahkan suara dan merendahkan diri.

Mungkin ungkapan Luqman kepada anaknya, yang berkata (bermaksud):  

Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai. ( (Luqman: ayat 19).

 Bukti nyata lagi jelas bahawa suara yang kuat adalah seburuk-buruk akhlak yang menyebabkan perilakunya seperti keldai yang membunyikan suaranya sudah pasti akan mengejutkan orang yang tidur, menjadi bingung ketika terjaga, dan menyebabkan kebisingan di jalan dan suasana hingar-bingar, keadaan panik dan kacau-bilau. (Ya Allah, Engkau telah cantikkan kejadikan kami, maka Engkau cantikkanlah akhlak kami).

Wasiat Kesembilan: Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang. 

Kehebatan dan keindahan Islam telah menjadikannya agama yang menyeluruh, yang mendorong semua perkara supaya menyemaikan kasih-sayang, persahabatan, keharmonian dan keakraban antara hamba-hamba Allah. Ini kerana jika keakraban demikian tercapai, dan kasih saying bersinar di lubuk hati hamba satu sama lain, maka tidak diragukan lagi hasilnya akan terbina masyarakat yang baik, di mana kebenaran sebagai ikutan, al-Quran sebagai manhaj hidup dan sunnah sebagai ikutan dan kecintaan, salaf as-salih dan para sahabat sebagai pedoman dan ikutan.

Oleh itu Imam al-Banna sangat menitik beratkan dengan jelas dalam wasiat ini supaya orang-orang Islam mengasihi dan menyayangi orang lain dengan berkenal-kenalan sesama mereka. Hal ini kerana amalan bertaaruf dan saling berkenal-kenalan adalah langkah menuju persaudaraan yang tulus yang akan memuliharakan sebarang keadaan dan menggoncangkan gunung-ganang di hadapannya. Tanpa persaudaraan tidak mungkin akan terbina umat Islam yang kuat..

Manhaj Allah di dalam al-Quran sangat menitik beratkan hal ini, seperti firman Allah swt (bermaksud): 

“Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal”. (Al-Hujurat: 13).

Di samping itu,  perkara pertama yang diberikan perhatian oleh Nabi saw semasa mengasaskan Negara Islam di Madinah al-Munawwarah, - semoga Allah menambahkan cahaya kepadanya – ialah bersungguh-sungguh ingin merealisasikan ukhuwwah dan persaudaraan antara golongan Ansar dan golongan Muhajirin untuk mencapai perkenalan yang mendalam. Hal ini berdasarkan keyakinan dan kepercayaan Nabi saw bahawa perkenalan dan persaudaraan di kalangan anggota barisan muslimin akan menjadi batu bata yang kukuh dan kuat dalam mencapai tujuan, dan untuk meletakkan asas kekuatan dan daya tahan bagi sebuah negara Muslim.

Justeru, dakwah Islam mempunyai asas penting yang menjadi tumpuan utamanya, iaitu kasih sayang, perkenalan dan persaudaraan di antara umat Islam yang akan menyematkan ikatan dan menyatukan ruh .., Mereka itu seumpama satu nyawa. Dengan itu ruh-ruh mereka menjadi tentera yang dilatih yang hanya mengenali perpaduan dan menolak perpecahan.

Bengkel tentang taaruf dan kasih-sayang:

Kami menyediakan satu tugasan yang perlu dilengkapkan oleh orang-orang yang mengambil berat dan para murabbi dalam satu bengkel kaji selidik, untuk mengukuhkan konsep, mendisiplinkan akal fikiran dan tercapai kebaikan kepada kita.

Q: Apakah sudah ada dalam masyarakat islam apa yang dinamakan perkenalan yang betul, kukuh dan mendalam, ataupun sekadar konsep secara teori yang lebih banyak daripada realistik dan praktikal?

* Apakah perkenalan dan kecintaan bererti kemajuan akhlak dan pemuliharaan kenikmatan berinteraksi sesame manusia atau perkenalan dan kecintaan dengan erti yang lain?

* Apakah boleh diterima bagi masyarakat yang saling berkenalan dan berkasih saying akan melakukan secara sembrono, sedikit rasa, pendiam, lambat menyelamat, dan tidak sensitif?

Q: Adakah cinta dan perkenalan bererti kurangnya penghormatan orang yang muda kepada orang yang lebih tua .. Dan orang yang tua melayani orang yang lebih kecil .. Atau Allah meningkatkan beberapa darjat satu sama lain, untuk menjadi ejekan satu sama lain, dan bahawa setiap individu dimudahkan ketika kejadiannya?

Q: Adakah kecintaan dan perkenalan bererti hanya mengetuk pintu dan berhubung melalui telefon pada masa-masa rehat sebagai hak seorang muslim untuk menikmatinya sehingga berulang untuk menggerakkan kegiatan dan hidupnya?

Q: Adakah termasuk cinta dan perkenalan apabila orang-orang yang meminjam daripada satu sama lain dan kemudian enggan mengembalikannya, dan sengaja melambat-lambatkannya sampai tahap pemberi pinjaman menjadi jengkel atau geram, dan ada kalanya rasa menyesal dengan apa yang dipinjamkannya?

* Apakah termasuk cinta dan perkenalan apabila percakapan mengatasi amalan dan berfalsafah mengatasi kebenaran dan realiti?

Q: Adakah termasuk kecintaan dan perkenalan apabila mereka boleh menghubungi anda, bertanya tentang anda dan menghantar mesej melalui telefon tangan atau telefon rumah, kemudian tidak bertukar-tukar perkara yang diketahui dan berbuat baik sekurang-kurangnya sepertinya, berdasarkan firman Allah (bermaksud): Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, Maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa)”. (An-Nisa’: 86) .. Atau adakah anda akan selalu tidak adil terhadap orang kafir lain yang memberikan cinta untuk anda, menghubungi anda dan bertanya tentang anda.

* Apakah termasuk kecintaan dan perkenalan apabila orang merasa kehilangan anda semasa anda sakit, anda bekerja dan anda sibuk mengubah keadaan hidup.

Q: Adakah termasuk kecintaan dan perkenalan ketika anda lupa sesuatu yang cantik, dan menyangkal sesuatu yang diketahui, dan meletus ketika persaingan?.

* Apakah termasuk kecintaan dan perkenalan ketika anda gagal menepati janji tanpa memaklumkan melalui alat komunikasi bagi meminta maaf atau terlambat untuk menghadirinya?.

Rumusan bengkel: Apakah kita golongan yang telah melaksanakan dalam hal; mereka telah mengenali kita dan kita telah mengenali mereka?

Wasiat Kesepuluh: Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.

Benar .. Benarlah orang pernah ​​berkata: "Kehidupan dunia hanya seketika, maka jadikanlah kehidupan dunia untuk ketaatan”.

Ini bermakna bahawa masa atau waktu pada hakikatnya hanyalah sebuah kehidupan seorang hamba. Jika boleh ia memenuhi hidupnya dengan tugasan yang baik yang membawanya lebih dekat kepada Allah dan berusaha untuk menyempurnakan tugas khalifah Allah di muka bumi sehingga dirinya dan umat dapat mengecapi kehidupan bermaruah dan berbahagia,.. Jika ia mampu mencapainya, maka ia telah berjaya dan memberi ketenangan untuknya bersama para salihin, siddiqin dan para syuhada’. Mereka adalah sebaik-baik teman.

Imam Ali Karamallahu wajhah pernah berkata tentang masa:
“Masa diciptakan untuk dimanfaatkan tubuh badan, menentukan cita-cita,  mendekatkan harapan dan mengingini keselamatan. Barangsiapa yang merebutnya maka ia memperolehinya dan barangiapa yang mensia-siakannya maka dia akan kepenatan.

Wahai anak Adam, apakah yang telah diperolehi dari masa anda, sedangkan anda adalah penyimpan untuk orang lain”.

Bagaimana cara memanfaatkan waktu anda:

 * Patuhi jangka masa yang ditetapkan bersama orang lain, dan menentukan batas waktu yang tidak boleh dilangkahi walau apapun alasan dan keadaan.

* Lengkapkan pekerjaan anda seperti yang telah dibebankan kepada anda oleh orang lain dengan cara mempersiapkan diri dengan baik yang akan membantu untuk mencapainya tepat pada masa, tanpa berlebihan atau berkurangan.

* Pastikan bahawa hadir tepat pada waktu yang dijanjikan, jangan pergi sebelum atau selepasnya. Anda hendaklah hormati tuan rumah dan menjaga maruahnya .. mungkin rumah itu perlu diatur dan dipersiapkan sekiranya belum bersedia untuk menerima tetamu.

* Elakkan dari perbualan di luar topik dengan orang lain kerana hal ini membuang masa, membuatkan orang menyampah dan mendatang kebencian di hati orang lain.

* Jangan berkeras dengan pendapat anda kecuali  jika ianya betul. Anda hendaklah bersopan dan berlembut dalam mengutarakan pendapat, kerana ianya dapat menjaga masa anda dan masa orang lain. Jangan berbicara dalam perkara yang bukan anda kehendaki kerana mungkin anda akan mendengar perkara yang tidak memuaskan anda.

Q: Sebelum anda bercakap tentukan bila akan bercakap, apakah topic yang akan dimulakan dan bila akan tamat. Ingatlah bahawa sebaik-baik bicara ialah yang ringkas dan padat, dan belum tentu semua yang berbicara dan panjang kata-kata semestinya ia lebih mengetahui, lebih layak dan lebih baik.

* Ketahuilah bahawa falsafah yang tidak didasarkan daripada wahyu ilahi sebenarnya hanyalah fikiran palsu .. Jangan memenatkan diri anda atau menyusahkan orang lain.

Harapan:


Saya berdoa kepada Allah supaya menjadikan amalan kita ini ikhlas kerana Allah, dan menerima amalan salih kami dan amalan salih anda. Semoga Allah mengurniakan  kepada kami taufik dan hidayah dalam menghuraikan cebisan dari Sepuluh Wasiat Imam Hassan al-Banna rahamahullah yang mungkin telah dilupakan dari perhatian,  pemuliharaan, pembacaan dan kajian .. Pada masa yang sama wasiat ini adalah sebagai pendekatan yang berpaksikan iman, dakwah, rabbani dan keutuhan akhlak yang menyumbangkan kepada kesempurnaan individu dan masyarakat, malah umat pada masa kini sangat memerlukan kepada keunggulan akhlak, ketinggian perasaan dan kegemilangan rabbaniah.

Allah adalah di sebalik segala tujuan.

Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top